Tuesday, January 4, 2011

Membuat Bentuk Asas

Bagaimana dengan perkenalan anda dengan Illustrator? Mempunyai sebarang masalah? Sudah dapatkan perisian tersebut? Kalau belum lagi, anda boleh berbuat demikian dengan memuat turun versi cubaan yang boleh di dapati di sini. Baiklah untuk kali ini kita akan teruskan tutorial kita dengan membuat beberapa bentuk asas yang terdapat dalam Illustrator. DI samping itu kita akan berkenalan dengan beberapa tools yang ada.







Selection Tools

Secara umumnya terdapat dua jenis selection tool di dalam perisian Illustrator ini. Kita akan banyak menggunakan tool ini untuk menggerakkan lakaran, menukar saiz lakaran, menyusun lakaran dan sebagainya.
Selection Tool: Digunakan untuk memilih sesuatu bentuk yang telah dilakar serta memindahkan kedudukan bentuk tersebut. Tool ini juga digunakan sebagai alat untuk menukar saiz sesuatu bentuk lakaran.
Direct Selection Tool: Berbanding dengan selection tool, alat ini digunakan hanya untuk memilih pada satu titik anchor yang ada pada sesuatu bentuk lakaran dan bukannya keseluruhan bentuk lakaran. Dengan ini anda dapat memindahkan kedudukan titik anchor itu seterusnya mengubah bentuk asal bentuk lakaran anda. 



 
Shape Tools

Shape tools digunakan untuk melakar ataupun meletakkan bentuk-bentuk asas yang disertakan bersama-sama perisian Illustrator anda. Sekarang pergi kepada tool palette anda, dan klik pada shape tool. Klik sehingga satu senarai pilihan untuk bentuk-bentuk lain keluar di sebelahnya. Walau bagaimanapun kali ini kita hanya gunakan bentuk segi empat tepat. Pilih bentuk segi empat tepat.



Fill & Stroke

Fill digunakan untuk mengisi penuh objek lakaran dengan warna dan efek-efek warna yang ada manakalan stroke  pula digunakan untuk menampakkan garisan luar pada sesuatu objek lakaran itu.
Setelah anda klik pada bentuk segi empat tepat tadi, bawakan cursor anda ke atas artboard .Klik dan tarik cursor sehingga terbentuk segi empat sama yang kita mahukan. Seperti yang telah ditetapkan, bentuk anda berwarna putih dan mempunyai garisan luar yang berwarna hitam. 


Menukar Warna Objek

Kemudian mari kita menukar warna segi empat tepat yang telah kita lakarkan. Klik 2 kali pada  Fill yang terletak di bahagian bawah Tool Pelette anda. Satu tetingkap baru yang dikenali sebagai  Color Picker  akan keluar. Pilih warna yang anda mahu dengan menarik slider dan kemudian pilih tahap kecerahan warna pilihan anda dengan klik pada mana-mana ton yang ada ditunjukkan. Klik OK . Bentuk lakaran anda sudah pun bertukar warna. Warna Stroke  juga boleh ditukar dengan menggunakan kaedah yang sama, tetapi anda perlu klik 2 kali pada ikon Stroke. 


Membuang Stroke

Klik pada Stroke  di Tool Pelette anda dan secara automatik Stroke akan berada di atas Fill . Garisan luar yang berwarna hitam pada objek lakaran anda akan hilang. Mudah bukan?


Mengekalkan Nisbah Pembesaran Objek

Kita masih boleh melakar sebuah segi empat sama dengan menggunakan Tool segi empat tepat tadi. Pilih bentuk segi empat tepat seperti langkah sebelum ini pada  Tool Palette anda. Sambil anda menekan Shift pada papan kekunci anda, klik dan tarik sehingga terbentuk segi empat sama pada permukaan  artboard anda. Langkah yang sama diperlukan semasa membuat segi empat tepat, tapi kali ini anda perlu menekan Shift, sehingga bentuk dan saiz yang anda mahukan terhasil. Anda boleh juga menggunakan langkah yang sama untuk melukis sebuah bulatan yang tepat dengan hanya menggunakan Ellipse Tool. Begitu juga dengan bentuk-bentuk yang lain, untuk mendapatkan pembentukan yang sekata, anda hanya perlu menekan Shift pada papan kekunci anda semasa menarik cursor.


Menukar Saiz Objek

Seterusnya kita akan menukar saiz bentuk lakaran kita. Untuk tujuan itu, pastikan anda memilih Selection Tool yang ada pada Tool Pelette anda. Apabila anda klik pada Selection Tool ,secara automatik satu segi empat yang dipanggil kotak keliling akan keluar di sekeliling objek lakaran anda. Kemudian tarik titik hujung yang berada pada bucu kotak keliling tadi untuk menukar saiz objek lakaran anda. Tarik ke arah dalam untuk mengecilkan dan ke arah luar untuk membesarkannya. Untuk mengekalkan nisbah pembesaran dan pengecilan objek lakaran, anda hanya perlu menekan Shift  semasa proses di atas. Manakala untuk mengekalkan kedudukan objek anda perlu menekan Shift+Alt semasa proses di atas.


Memutarkan Objek 

Seperti menukar saiz, anda perlu memilih objek yang hendak diputarkan dengan menggunakan Selection Tool . Setelah kotak keliling objek lakaran anda keluar, gerakkan cursor anda hampir kepada bucu kotak tersebut sehingga cursor anda bertukar menjadi satu ikon putaran. Klik dan putarkan objek anda mengikut apa yang anda mahukan. Untuk terus putarkan kepada sudut-sudut 45 darjah, anda hanya perlu tekan  Shift semasa anda memutarkannya.


Dengan mengetahui asas-asas membuat bentuk lakaran yang anda mahu, saya percaya anda mampu membuat bentuk-bentuk lain yang ada di sekeliling kita dengan menggabungkan bentuk-bentuk asas yang didatangkan bersama-sama perisian Illustrator ini. Walau bagaimanapun beberapa langkah asas seterusnya perlu dipelajari untuk membuat bentuk-bentuk yang lebih kompleks daripada ini. Selamat Mencuba.

No comments:

Post a Comment